Assalammualaikum, selamat datang ke ruangan Cik Tulip Merah.

Rabu, 4 September 2019

Cerpen : Aku Lepaskan Kerana Cinta (Akhir)



Hana tahu, apa yang Amir cakapkan itu benar. Dia harus memberikan peluang kepada orang lain. Meskipun berat, dia tetap perlu teruskan hidup tanpa bayang-bayang Faris. Hana juga tahu, Faris nakkan yang terbaik untuk dirinya dan andai saja dia masih ada, pasti dia akan marah pada Hana kerana bersikap seperti ini.

Malam itu, Hana melakukan solat taubat. Dia menangis sepuas-puasnya di atas sejadah. Dia menangis kerana selama ini dia fikir dia sudah mengikhlaskan kepergian Faris, tapi hakikatnya hanya bibirnya yang ungkapkan itu tetapi tidak hatinya. Malam itu dia benar-benar redha. Malam itu dia benar-benar kembali menyerahkan segala percaturan tentang hidup dan matinya kepada Allah. Hana percaya, inilah yang Faris mahukan dari dia. Melepaskan dengan redha, menerima dengan hati terbuka. Meskipun jasad lelaki terindah itu tidak lagi disisinya, nama juga kenangan mereka tetap segar dalam hati Hana. Dia harus bangkit untuk kenangan yang baru, juga dengan orang yang baru sekiranya masih ada jodoh dari Allah buatnya. Kerana sesungguhnya ajal, jodoh dan pertemuan itu milik Allah. Maka dia tidak berhak mendustakannya.

Beberapa bulan berlalu, Hana sudah cukup kuat dan kembali bersemangat. Dia tidak lagi hidup dalam bayangan kisah semalam. Meskipun kenangan lalu memberi kesan yang mendalam buatnya, dia sedar dia perlu teruskan hidup. Jika terus dilayankan rasa sedih, rasa kehilangan itu sampai bila pun dia takkan mampu keluar dari dunianya sendiri.

“ Hana Khalisya Binti Hisham “, tegur seseorang dari belakang.

“ Ya saya “, Hana menoleh saat nama penuhnya dipanggil.

“ Eh, awak. Lama tak nampak. Mana tercampak. Hihihi “, gurau Hana.

“ Ada, Cuma busy sikit sekarang ni. Kenapa dah rindu saya ke ?”. usik Amir pula.

“ Err, awak nak makan apa?. Nasi goreng, mee kari, laksa ? “, Hana cuba mengelat.

“ Awak … ikut saya kejap “, pinta Amir seraya menarik tangan Hana ikut dengannya.

Amir mahu meluahkan segalanya pada Hana hari ini. Dia tidak mahu gadis itu hilang dari matanya lagi. Cukuplah gadis itu menyiksa hatinya dengan rasa rindu beberapa bulan ini. Kali ini dia takkan sesekali menyerah. Nak jadi apa pun, jadilah !

“ Hana, saya betul-betul ikhlas dengan awak. Boleh tak awak bagi saya peluang untuk bahagiakan awak. Satu je peluang. Please Hana “, ucap Amir lembut.

“ Eeeee, awak ni tak faham bahasa ke!. Kan saya dah cakap hari tu ! “, bentak Hana keras.

“ Fine … Fine !. Awak memang kejam Hana. Sedikit pun awak tak cuba bagi peluang untuk diri awak dan saya. Baiklah, Saya lepaskan awk. Saya lepaskan awak kerana cinta saya pada awak Hana “, luah Amir dengan nada pasrah.

“ Alamak, dia betul-betul lepaskan aku ke ?. Adoii orang gurau je tadi. Sentap pulak mamat tinggi ni “, bisik Hana dalam hati.

“ Amir Hafizi Bin Izham, saya gurau je tadi. Memanglah saya nak awak lepaskan saya. Tapi boleh tak awak ikatkan saya dengan hubungan yang sah ?”, umpan Hana dengan muka yang sudah kemerah-merahan.

Malu betul dia bila sudah lama tidak bersikap sweet kalah madu ni.

Mendengar kata-kata Hana, Amir terus menjadi semangat.

“ Hana, seriouslah ?”, tanya Amir minta kepastian.

“ Betullah, tapi kalau tak nak. Tak apalah. Gerak dulu, pape roger “, ucap Hana lantas memulakan langkah.

“ Ehh, sabarlah sayang. Nak ke mana laju-laju ni. Dah curi hati orang, nak lari pulak. Jom ikut saya “, tarik Amir.

“ Kita nak ke mana ni ? “, tanya Hana bingung.

“ Nak ke pejabat agamalah sayang. Lambat nanti tok kadi tak ada pulak “, ucap Amir sambil berlari

“ Eeeee, gatallah awak ! “, Hana mengejar sambil mengangkat tangan seperti mahu menampar.


Bahagia itu milik semua orang, yang menentukan pilihan itu adalah diri sendiri. Sama ada kita masih mahu terperangkap dalam dunia silam atau melangkah dengan masa depan yang baru. Kehilangan itu memang menyakitkan, tapi setiap daripadanya akan Allah gantikan dengan lebih baik. Kita hanya perlu melepaskan dan kembali bangkit dengan harapan yang baru. Seseorang dimasa lalu itu, tidak perlu kita padamkan. Cukuplah jadikan dia sebuah kenangan dan pengalaman yang mematangkan kita untuk menghadapi hari mendatang. Melepaskan untuk cinta yang baru itu bukan sesuatu yang kejam, tapi kita harus melepaskan untuk meneruskan perjalanan yang masih bersisa. Jangan pernah menghukum diri kerana bahagia yang tak kesampaian, jangan pernah mempertikaikan kenapa Allah menguji kita. Sebaliknya, anggaplah setiap uji itu Allah hadirkan untuk menjadikan kita insan yang kuat dengan syukur dengan setiap rahmatnya.



- TAMAT -

Cerpen : Aku Lepaskan Kerana Cinta (iii)


Tapi semuanya sudah terlambat. Hana sudah salah faham. Dia pasti akan mengelak untuk berjumpa dengannya lagi. Hana pasti fikir bahawa dia masih mencintai perempuan itu.

“ Arghhh ! Aku mesti cari Hana “, bentak hati Amir sendiri.

Dia tidak boleh kehilangan gadis itu. Meskipun baru sahaja mengenalinya, dia sudah benar-benar jatuh cinta dan dia yakin Hana adalah gadis yang akan membahagiakan hidupnya.


Amir muncul di kedai makan Mak Cik Leha tapi dia tidak Nampak kelibat Hana di situ. Anak matanya berlari-lari mencari ke seluruh pelusuk kedai itu namun susuk tubuh Hana tidak kelihatan.

“ Encik, encik cari siapa “, sapa Mak Cik Leha dari belakang.

“ Hana … saya cari Hana “, balas Amir.

“ Ohh Hana … Dia cuti dua tiga hari ni. Tak sihat katanya. Ada apa-apa pesanan ? ”, ucap Mak Cik Leha.

“ Boleh dapatkan alamat rumah dia, please makcik “, pinta Amir dengan muka merayu.

Mak Cik Leha jadi serba salah, tapi dia tahu lelaki inilah yang menjadi punca mengapa anak buah kesayangannya menjadi muram dan tidak banyak bercakap sejak kebelakangan ini. Jadi, dia menyerahkan sekeping kertas yang tertera alamat rumahnya kepada Lelaki itu.

“ Nak, jangan lukakan hati Hana lagi ya “, ucap Mak Cik Leha saat Amir melangkah keluar dari kedai makan miliknya.

Amir tiba di alamat yang telah diberikan Mak Cik Leha tadi, dia menekan-nekan loceng yang ada di pagar hadapan lalu memberi salam.

“ Assalammualaikum … Assalammualaikum …. Assalammmmmmualaikum “, bertalu-talu salam yang dia lemparkan.

Akhirnya kelihatan wajah putih mulus, comel dan agak pucat dari pintu.

“ Waalaikumsalam. Eh awak, awak buat apa dekat rumah saya ni “, tanya Hana sambil membetulkan tudungnya yang sedikit senget.

“ Saya cari awaklah sayangggg “, ucap Amir malu-malu.

“ Eh dia main saying pulak. Awak nak apa ni ? “, tanya Hana dengan tegas.

“ Boleh kita sembang sekejap ?. Saya tahu awak tak sihat, tapi please … kejap je “, pinta Amir.

“ Okay, kejap je tau “, setuju Hana.

“ Awak sebenarnya apa yang awak Nampak malam tu tak sama macam apa yang awak fikir. Memang perempuan tu orang terpenting dalam hidup saya. Tapi tu dulu. Dulu saya kerja siang dan malam, dengan harapan untuk jadikan dia isteri saya. Sibuk macam mana pun saya cuba curi masa untuk dia. Tapi dia curang dengan saya awak. Dia hancurkan semua kepercayaan saya pada dia. Malam yang awak Nampak kitaorang tu, sebenarnya dia datang merayu untuk saya terima dia. Tapi waktu tu, hati saya dah taka da dekat dia. Hati saya dah ada pada awak. Tapi saya tak sedar. Lepas awak diam, menjauh dari saya. Baru saya sedar sebenarnya saya dah betul-betul sukakan awak “, jelas Amir

“ Awak … saya tahu awak takkan percayakan saya. Tapi tolonglah bagi saya peluang. Bagi saya peluang untuk bahagiakan awak. Andai saya gagal, saya janji …. Saya takkan ganggu hidup awak lagi “, Amir terus merayu pada Hana.

“ Amir … saya minta maaf. Saya belum bersedia untuk buka hati saya pada orang lain. Saya tak nak kecewa. Biarlah saya sendiri macam ni. Sekurang-kurangnya saya tak sakitkan hati sesiapa “, ucap Hana.

“ Tak sakitkan hati sesiapa awak cakap ?. Awak sedar tak, dia dah tak ada. Kalau dia ada pun saya pasti dia nak tengok awak bahagia. Dia mesti tak nak tengok awak macam ni. Tolonglah lepaskan cinta awak pada dia. Awak tahu tak sikap awak ni buatkan dia tak tenang dekat sana. Bila awak tak ikhlas, sama seperti awak mempertikaikan ketentuan Allah “, ucap Amir dengan tegas.

Amir tahu kata-katanya itu sedikit sebanyak menyakitkan Hana. Tapi dia perlu bertegas supaya Hana sedar bahawa dia tidak boleh terus hidup dalam bayangan kenangan lalu. Amir juga tahu bahawa Hana sangat mencintai lelaki itu dan dia sedar betapa beruntungnya jika dia menjadi lelaki yang mampu membahagiakan Hana.

“ Amir … awak takkan faham. Saya nak jumpa dia dekat sana. Saya nak jadi bidadari dia dekat syurga nanti. Awak tahu tak dia lelaki paling indah yang pernah saya punya. Tak ada lelaki lain sebaik dia “, ucap Hana dengan nada menahan air mata.

“ Hana, saya faham awak cintakan dia. Tapi awak jangan lupa, perancangan Allah adalah yang paling baik. Allah ambil dia sebab Allah sayangkan dia, dan Allah nak gantikan kehilangan dia dengan seseorang yang lebih baik untuk awak. Awak kena belajar bagi peluang untuk orang lain masuk dalam hati awak. Awak tak boleh macam ni. Awak kena lepaskan dia untuk cinta yang baru. Percayalah walaupun orang tu bukan saya, saya yakin Allah akan gantikan seseorang yang lebih baik untuk awak. Cumanya awak kena belajar untuk terima “, kata Amir sambil memandang tepat ke anak mata Hana.

“ Saya masuk dulu, nanti kita sembang lagi “, Hana melangkah masuk ke dalam rumah.

Cerpen : Aku Lepaskan Kerana Cinta (ii)


Bingung ! … Dia bingung dengan sikap lelaki itu. Betullah dengan gelaran yang sering Hana tujukan pada lelaki itu sebagai lelaki misteri. Lelaki yang dia sendiri tidak tahu suka atau tidak dengan dirinya. Bila didekat menjauh, bila menjauh ehhh mendekat pulak.

“ Tingg “, bunyi notification wechat Hana kedengaran perlahan.

“ Boleh kita jumpa dekat taman petang ni ? - Amir -

Hana tercengang sendiri. Apa kes lelaki tu ajak jumpa tiba-tiba ni ?

Seperti yang telah mereka janjikan, tepat jam 5.30 petang. Hana tiba di taman permainan berdekatan perumahan mereka. Dari jauh Hana Nampak kelibat Amir yang sedang menantikan dirinya. Perlahan-lahan di menghampiri susuk lelaki itu.

“ Assalammualaikum “, Hana memberikan salam.

“ Waalaikumsalam. Hai awak “, jawab Amir sambil tersenyum.

“ Maaf, ada apa eh nak jumpa saya ni?. Tak pernah-pernah kan? “, ucap Hana lalu duduk bertentang dengan Amir.

“ Saya ada something nak bagitau awak. Sebenarnya …. Ermm sebenarnya “, Amir tidak mampu meneruskan kata-katanya pada Hana.

Dia sebenarnya keliru. Dia tidak tahu adakah apa yang bakal diucapkannya ini adalah dari hatinya atau pun sekadar untuk menghilangkan rasa sunyi dihatinya selepas dia membuang Nisha beberapa waktu dulu.

“ Sebenarnya apa awak ? “ , Hana bertanya dengan keras.

“ Sebenarnya saya dah mula sukakan awak !. Sudi tak awak jadi kekasih saya, kalau ada jodoh kita nikah “, ucap Amir lancar kerana terkejut dengan pertanyaan Hana tadi.

“ HAHAHAHAHA !, Awak suka kat saya?. Biar betik ? “, gelak Hana dengan lantang.

“ Awak buat lawak ke ni ?. Text saya pun awak balas nak tak nak je lepas tu hari ni cakap suka. Adoiii, matilanak macam ni “, ucap Hana dengan gelak yang masih bersisa.

“ Awak … Kalau awak sekadar nak mainkan hati saya, perasaan saya dengan kata-kata awak ni. Tahniah, awak dah berjaya buat hati saya berbunga-bunga. Tapi awak, saya tahu awak sebenarnya tak ikhlas pun dengan saya. Saya dah dengar perbualan awak dengan perempuan hari tu. Dia kekasih awak kan ?”, tanya Hana sambil menundukkan kepala.

Hana ingat lagi saat dia ternampak Amir bercakap dengan seorang gadis tempoh hari. Ketika itu, dia dalam perjalanan pulang ke rumah.


“ Aku boleh je pilih mana-mana perempuan yang boleh gantikan kau, kau jangan cabar aku ! “, itulah kata-kata yang Hana dengar saat dia lalu di kawasan berkenaan.

“ Awak cakap macam ni sebab awak nak buktikan dekat perempuan tu, yang awak boleh dapat mana-mana perempuan untuk gantikan dia kan?. Sebab tu awak cakap macam ni kan ?. Sebab saya je perempuan yang terhegeh-hegeh dekat awak kan ? “, bertubi-tubi Hana menyoal.

Amir kelu, dia tidak tahu bila Hana melewati kawasan itu. Tapi benar, malam itu dia ada bertemu Nisha. Perempuan yang pernah kianati cintanya dan saat itu juga dia mengungkapkan kata-kata itu untuk menyakitkan hati Nisha. Tapi tadi, dia tidak pasti sama adalah perasaan itu benar-benar wujud dari hatinya atau benar seperti telahan Hana. Dia sekadar mahu menjadikan Hana tempat untuk dia menyakitkan hati Nisha.

“ Hana … Saya, saya takk ada niat pun. Saya … saya “, ucap Amir tersangkut-sangkut.

“ Awak, sudahlah. Lupakan saja. Saya tak salahkan awak pun. Saya tahu, saya sendiri yang dah tersuka dekat awak. Saya tak tahu macam mana saya boleh suka dekat awak walhal awak buat tak peduli je dekat saya kan. Sebab tu, saya jauhkan diri dari awak. Saya tak nak nanti saya terjatuh cinta pulak. Saya tak nak kecewa. Saya tak nak. Saya minta maaf sebab selalu ganggu awk dulu. Andai perempuan itu adalah seseorang yang terpenting dalam hidup awak. Kejarlah dia, bahagiakan dia. Jangan sebab ego, awak hilang seseorang yang sangat sayangkan awak. Saya dah pernah rasa kehilangan. Saya tak nak awak rasa perasaan yang sama. Saya doakan awak bahagia dengan dia. Jangan risau pasal saya, saya okay “, luah Hana sambil melangkahkan kaki meninggalkan Amir di situ.

Hana sebenarnya tidak tahu apa yang terjadi antara Amir dengan gadis tempoh hari. Dia sekadar menembak kononnya Amir dan gadis itu masih saling mencintai dan kononnya dialah yang menjadi hero menyelamatkan hubungan mereka berdua. Walhal dia tak tahu, Amir sangat kecewa dengan perempuan itu.

Hari demi hari, Amir masih memikirkan tentang Hana. Kenapa gadis itu fikir dia terlalu mencintai Nisha?. Sedangkan hakikatnya dia sudah mula suka dan rindu tentang keletah gadis comel itu sendiri. Ya benar, dulu dia sangat mencintai Nisha. Baginya Nisha adalah gadis paling layak buatnya. Bekerjaya, cantik dan bijak. Memang sesuailah dengan dirinya yang bekerja sebagai pengurus besar di sebuah syarikat ternama. Tapi malangnya, kesibukan kerja dan sikapnya yang selalu memanjakan Nisha akhirnya membuatkan dia menyesal. Segala rasa cinta dan setianya dibalas dengan kecurangan. Hanya kerana mereka tidak punya waktu bersama, Nisha memilih untuk curang. Mana kata-kata akan susah dan senang bersamanya dulu? Nisha lupa ! Perempuan itu sudah lupa tentang janji-janjikan mereka.

Saat dia mengenali Hana, dia mula berfikir. Betapa bersyukurnya gadis itu. Dia tidak berharta, tapi masih punya hati yang baik. Bahkan walaupun bekerja sebagai pelayan di kedai makan milik makciknya, dia tetap gembira. Macam mana Amir tahu ?. Sebenarnya dia sudah lama mengintai gadis comel itu saat pertama kali memandangnya. Saat gadis itu mengirim pesanan ringkas setiap hari dulu, dia sebenarnya suka tapi sengaja jual mahal. Dia tidak mahu memberikan gadis itu harapan saat dia sendiri ragu dengan hatinya.

Cerpen : Aku Lepaskan Kerana Cinta (i)



Sudah hampir 2 tahun, Hana menyendiri tanpa kehadiran seseorang dalam hati. Kehilangan insan yang sangat dicintainya dulu membuatkan dia bertindak menutup pintu hatinya buat lelaki lain. Baginya, dia tidak mahu mencintai lelaki lain selain Faris, tunangnya. Dia benar-benar mencintai lelaki itu, lelaki yang sudah hampir 10 tahun bertahta di hatinya. Mana mungkin dia menghapuskan semua tentang mereka. Tentang impian mereka untuk hidup bersama, tentang suka, duka perjalanan kisah mereka. Tapi, perancangan Allah melebihi segalanya. Dua bulan sebelum majlis pernikahan mereka berlangsung, Faris meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Saat itu, Hana seperti zombie yang jasadnya bergerak tapi hatinya sudah mati. Dia benar-benar terkesan dengan insiden itu.

Sejak peristiwa itu, Hana menjadi pemarah. Dia melampiaskan semua amarahnya tanpa sebab. Dia menunjukkan rasa protes pada semua orang. Tambah-tambah dengan mereka yang suka bercakap mengenai pengganti atau cuba menjodohkan dia dengan seseorang. Dia menjadi benci dengan perkataan itu. Baginya tidak ada seorang lelaki pun yang layak untuk menggantikan Faris di hatinya dan dalam masa yang sama, dia penat untuk belajar mengenal insan lain. Dia sebenarnya takut, takut kalau menemui lelaki yang salah. Dia takut kalau dia belajar mencintai semula, dia akan kecewa dengan lebih teruk. Hana, dia sememangnya perempuan yang bila sayang atau cintakan seseorang dia akan mencintai orang itu dengan sepenuh hatinya. Jadi, dari itu … dia takut untuk mencintai lagi. Dia tidak mahu terluka dan akhirnya dia yang merana.

Namun, sejak akhir-akhir ini ada seseorang yang berlegar di fikirannya. Amir Hafizi, lelaki yang sering dia temui tanpa sengaja. Wajahnya manis persis arwah tunangnya. Mungkin itu yang menyebabkan dia suka untuk mencuri lihat wajah lelaki itu dari jauh. Mereka mulanya bertemu di kedai makan Mak Cik Leha, kedai milik ibu saudara Hana. Sejak itulah mereka terjumpa antara satu sama lain tanpa sengaja, terkadang di shopping kompleks, terkadang di traffic light, dan terkadang di “people nearby wechat”. Dari situlah bermulanya perkenalan mereka. Tapi Hana tetap berwaspada dengan hatinya. Dia tidak mahu jatuh cinta meskipun lagaknya dia sudah mula suka akan lelaki itu. Meskipun lelaki itu tidak seperti gemar membalas mesej darinya. Dia masih saja menghantarnya setiap hari. Dia memang suka pada lelaki yang jual mahal. Bagi Hana, lagi kau jual mahal … lagi aku kejar !

Amir Hafizi, lagaknya dia seperti lelaki yang baru putus cinta. Dia masih dibawa bersama kenangan lalu. Kenangan indah bersama gadis yang pernah dicintainya. Tapi malangnya cinta yang dia berikan dibalas dengan kecurangan. Tapi sejak adanya gadis comel yang bernama Hana itu, hari-harinya tidak sunyi lagi. Manakan tidak, siang dan malam pasti ada pesanan ringkas lewat wechat dari gadis itu. Ucapan selamat pagi, selamat malam lah dan macam-macam lagi. Meskipun terkadang mesej-mesej itu dibiarkan begitu saja, namun gadis itu langsung tidak jemu. Terkadang dia merasa kasihan dan terkadang dia merasa bersalah. Sebab ?. Sebab dia yang menegur gadis itu pada mulanya di wechat. Dia yang memberikan kata-kata untuk mengenal gadis itu tapi akhirnya … dia yang seperti endah tidak endah. Apa yang dia mahu sebenarnya?. Membalas dendam atas kecurangan si Nisha pada gadis lain?. Gadis yang tidak bersalah. Tidak kejamkah dia ?

Beberapa hari berlalu, Amir sudah lama tidak menerima pesanan lewat applikasi wechat dari Hana. Bila di belek, moment wechat Hana kelihatan aktif seperti biasa. Ada saja yang diuploadkan setiap hari. Tapi kenapa tiada lagi pesanan buatnya? Arghh !, apa dia sudah mula rindu pada gadis itu?.

“ Nak mesej ke tak, nak mesej ke tak ? “, Hana bertanya sendiri.

Dia sedar dia sudah lama tidak mengirimkan ucapan selamat pagi pada lelaki misteri itu. Ikutkan hati, mahu saja dia menghantar setiap hari tapi dia rasakan ada sesuatu yang aneh tentang lelaki itu. Maka itu dia berhenti menghantar pesanan ringkas kepada Amir. Dia tidak mahu terus sakit hati apabila semua pesanan itu tidak berbalas. Lagaknya seperti dia yang terhegeh-hegeh, padahal lelaki itu yang pelawa untuk mengenali dirinya. Pada awalnya, Hana memang selesa dengan layanan Amir. Tapi lama-kelamaan dia sedar lelaki itu bisa membuatkan tidur malamnya tidak lena. Maka itu, dari dia terus dibuai perasaan. Dia memutuskan untuk berhenti membina angan-angan.

“ Hana ! “, jerit Amir saat melihat kelibat Hana di kedai Mak Cik Leha.

“ Awakk … “ , jawab Hana sambil cuba melemparkan sebuah senyuman.

“ Awak sihat ?. Kenapa lama tak hantar text dekat saya ? “, tanya Amir dengan senyuman manisnya.

“ Erm, lama ke ?. Mana ada lama, beberapa hari saja kan. Lagipun saya tak nak ganggu awk. Awak pun x suka kan saya text awak hari-hari “, balas Hana sambil berlalu meninggalkan Amir yang sedari tadi berdiri di sebelahnya.

Amir membontoti Hana hingga ke ruangan dapur kedai makan tersebut. Dia sendiri tidak mengerti mengapa sikap dia begitu.

“ Hana, nanti kalau awak free … awak text saya tau “, ucap Amir sebelum keluar dari kedai makan itu.


“ Dah kenapa mamat ni ?. Biasa aku text tak pernah nak balas pun. Kadang balas nak tak nak je. Hari ni datang cari aku pulak “, rungut hati Hana sendiri.

Sabtu, 20 April 2019

Selamat Malam Sayang

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ



Repost dari Facebook 

HARI : SELASA
TARIKH : 14 APRIL 2019
MASA : 9.36 MALAM


Hari tu ...
Kawan sis beli inai,
Pastu dia bagi sis try.

Dia cakap ...
Hang try pakai tengok cantik dak warna dia,
aku tak boleh pakai, sebab lagi berapa hari nak kenduri dah,
hang lambat lagi,
Pakailah dulu ...

Sis pun try ...
Cantik warna inai ni,
Pastu tunang sis call, sis tunjuklah jari berinai tu haa ...
Tunang sis cakap " amboii, tak sabar nak kahwin ye "

Tapi sebenarnyaa tu petanda,
Petanda yang sis TAKKAN pakai inai pada hari yang kami janjikan.

Selendang sis ni, 
Dah lama arwah simpan,
Tertinggal dalam kereta dia 2 tahun lepas kot masa hantar sis balik rumah,
Masa kenduri tahlil rumah dia hari tu,
Sis cari tak jumpa, lepas tu akak dia cakap " selendang hitam yang dia selalu pakai tu eh "
Akak dia cakap pergi mana pun mesti dia lilit dekat leher,
Kadang time kerja pun dia bawak, letak dalam beg ...

Bantal purple ni ...
Hari tu masa dia suruh sis ambil,
Dia cakap memang dia belikan untuk sis,
Tapi sis cakap, simpan dengan dia dulu ...
Sebab nanti kan nak jadi orang rumah diaa,
Tapi ... tak kesampaian kan

T-shirt macam kenal ?
Haah, baju dia ...
Baju ni lah dia pakai masa 1st time dating dekat Kedah,
Masa tu dia turun sorang-sorang jumpa mak ayah,
Masa bagitahu dia nak datang sini kan,
Arwah abah cuci satu rumah haa nak sambut dia,
Maklumlah rumah sis tu penuh dengan barang-barang bengkel arwah abah dulu,
Itu yang abah sampai cuci satu rumah,
Nak sambut orang jauh katanya ...

Cincin tunang tu, dia yang pilihkan.
time beli tu, dia tunjuk gambar sambil pegang cincin,
Dia cakap dia tak pandai pilih,
Sis cakap x apa,
Tapi sebenarnya time tu rasa terharu sangat ...
Kenapa ? Sebab dia dah tunaikan janji dia untuk halalkan sis,
Sis nampak jari dia ada kesan minyak,
Dia baru balik kerja terus carikan cincin untuk sis ...

Rantai tangan ni sepatutnya dia yang pakaikan masa batal air sembahyang,
tapi tak sempatkan,
Rantai ni dia cakap dah alang-alang dekat Kedah, belikan siap-siaplah
Lepas tu dia suruh sis pakai terus,
Sis cakap tak nak, kan nak pakai masa batal air sembahyang nanti ...
Sis suruh dia simpan, dia pun macam " Okay "

3 Hari sebelum dia meninggal,
Sis dengan dia keluar sama-sama pergi cari baju nikah,
Tapi jumpa baju melayu untuk dia saja,
Baju untuk sis ada, tapi harga dia mahal sangat ...
Sis kalau boleh memang tak nak bebankan dia,
Tapi dia cakap tak apa, ambil je
Tapi sis tak ambil, sis cakap dekat akak kedai tu ...
Simpan kejap, saya survey sekali lagi yaa. Kalau tak ada saya datang balik
Last-last lari dengan dia. Dia gelakkan sis.
Dia cakap " apalah sayang ni, tak baik tau buat macam tu "
Sis cakap " Alaaa, mahal sangat. Tak berbaloi nak pakai sehari "
Pastu dia cakap " A'ah kan "

Tengah berjalan-jalan dalam Mall tu,
Dia ternampak kedai emas, dia ajak sis tukar cincin.
Dia cakap " kita tukar yang lagi cantik eh, yang ada batu "
Pastu sis cakap, " Tak payahlah, cincin ni pun dah cantik "
" Nanti-nantilah kalau nak tukar, nak kahwin dah kan "
Pastu dia cakap " Betul tak nak ni "
Sis pun cakap " Betullah "

Cincin tunang ni pun dah sebati dengan sis,
Dah cantik sangat walaupun simple,
Sebab cantiknya tu dapat dilihat dengan semua usaha dan kerja keras dia,
Sis memang beruntung sangat sebab ALLAH pinjamkan dia untuk sis,
Walaupun sebentar saja ...

Selamat Malam Sayang,
Malam ni dan malam-malam seterusnya takkan ada lagi ucapan dari awak,
Rehatlah dengan nyaman,
Semoga Allah permudahkan urusan awak dekat sana.

Kalau ada urusan awak yang boleh saya permudahkan dekat sini,
Insya-Allah saya akan usahakan ...

Semoga satu hari nanti Allah satukan jodoh kita di akhirat kelak,
Amin, aamin ya rabbal alamin.

Khamis, 18 April 2019

Allah S.W.T Pinjamkan Kamu Sebentar Buat Aku Sayang


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ



HARI : RABU
TARIKH : 10 APRIL 2019
MASA : 8.28 PAGI 

Ada DUA jodoh di muka bumi ini ...

SATU ... Jodoh dengan manusia yang telah Allah S.w.t tentukan buat kita,
DUA ...Jodoh dengan kematian yang tidak mampu kita lari.

Sayang ...
Baru dua hari lepas saya balik dari Selangor,
3 hari lepas kita baru pergi cari baju nikah sama-sama,
Dan kelmarin awak baru hantar gambar awak pakai baju melayu kuning cair tu sayang.
Saya cakap awak hensem
Tenang hati saya tengok gambar awak ...

Semalam kita tak banyak berwhatsapp, balik kerja petang tu saya ke rumah imam untuk minta di tandatangan borang nikah kita sebelum saya serahkan ke pejabat agama kedah pagi esok.
Waktu maghrib awak video call banyak kali, tapi saya cakap kejap ...
Tapi awak asyik call call dan call. Saya anggap itu biasa sebab sebelum ni pun awak suka buat macam tu kan. Saja nak tengok muka marah saya. Tapi ... sebenarnya mungkin awak dah rasa akan rindu saya kan. Jadi awak call untuk tengok saya buat kali terakhir. Tapi sayangnya saya tak sedar sayang.

Last text dari awak jam 11.00 malam, time tu awak suruh saya tidur.
Saya cakap kejap lagi, lepas tu terus awak tak respon.
Saya fikir awak tengah buat kerja, sebab tu awak tak reply text saya.
Kemudian saya terus tidur, tidur tanpa ucap selamat malam, jaga diri ataupun call awak.
Biasanya saya akan dengar suara awak dulu sebelum tidur. Tapi malam tu tak pun

Tapi lebih kurang jam 2 pagi tu, saya dengar anak-anak kucing saya mengiaw. Macam gelisah.
Saya tak boleh tidur, saya bangun. Lepas tu awak, saya dapat panggilan dari nombor tak dikenali.
Dia sebut nama saya, saya jadi takut-takut nak jawab. Lepas tu dia minta saya banyakkan bersabar.
Saya jadi pelik, tapi jantung saya rasa macam berhenti berdegup awak ...
Dia cakap " Faisal, tunang awak ... dia dah tak ada ". Berderau darah saya, fikiran saya terhenti sama macam jantung saya. Saya istigfar panjang, terus saya menangis awak. Tapi masa tu saya tak sedar lagi. Saya rasa macam saya mimpi sampailah saya dengar suara ayah awak. Barulah saya sedar yang awak BETUL-BETUL dah tinggalkan saya.

Awak dah tak ada sayang ... awak pergi mana ?
Awak dah tinggalkan saya buat selamanya !!!. Sampai hati awak ...
Lagi dua bulan saja lagi awak nak jadi suami saya, tapi hari ni awak pergi tinggalkan saya !

AWAK JAHAT KAN !
Takk .. takk, awak tak jahat !
Allah S.w.t lebih sayangkan awak dari saya.
Saya kena terima ujian ni kan. Kan awak cakap saya kuat !

Awak tunggu yaa,
Saya sedang usaha nak pergi ziarah awak ni,
Semoga Allah izinkan saya untuk tatap wajah awak buat kali terakhir ni.

Awak ...
Terima kasih untuk semua kasih sayang awak,
Terima kasih sebab sentiasa jadi bahu yang selalu mendengar keluh-kesah saya,
Terima kasih sebab sentiasa nasihatkan saya, jadi penguat semangat saya
Dan terima kasih untuk semua kenangan kita.

Sayang ...
Semoga Allah S.w.t mengampunkan segala dosa-dosa awak, dan semoga roh awak ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang beriman.

Amiin, aamin ya rabbal alamin.

Buat sesiapa yang singgah diruangan saya ini,
mohon didoakan/disedekahkan AL-FATIHAH buat tunangan saya FAISAL HARAHAP BIN AHMAD HARAHAP yang telah kembali ke rahmatullah pada tengah malam tadi.

:: AL-FATIHAH ::